MARIMO mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat perlahan iaitu lebih kurang satu sentimeter setahun.
NIGEL
KOO merupakan seorang yang amat menggemari tumbuh-tumbuhan dan haiwan
peliharaan. Sebelum ini, dia memiliki satu koleksi pokok bonsai yang
perlu dijaga dan dicantas hampir setiap hari.
Suatu
hari, ketika lelaki yang berumur 37 tahun itu menerokai alam maya, dia
menjumpai sebuah laman web dari Taiwan yang memaparkan sejenis hidupan
akuatik yang dipanggil marimo.
Marimo
adalah sejenis hidupan yang sangat unik. Ia termasuk dalam kategori
alga yang hidup dalam air. Ramai menjadikan marimo sebagai tumbuhan
hiasan yang diletakkan dalam akuarium.
“Ia
dapat mengelakkan pertumbuhan alga dalam akuarium. Jadi, dinding kaca
akuarium yang selalu dikotori dengan warna hijau tiada lagi,” terang
Nigel ketika ditemui di gerainya di Petaling Jaya, Selangor.
Tumbuhan
yang memiliki permukaan seakan-akan kain baldu itu tidak akan meracuni
ikan hiasan manakala haiwan bersisik itu pula tidak mungkin dapat
memakan marimo kerana fizikalnya agak keras.
Disebabkan
marimo dan alga hijau datang daripada keluarga tumbuhan yang sama,
berlaku persaingan antara kedua-duanya untuk terus hidup dari segi
mendapatkan nutrisi seperti sumber cahaya dan makanan.
Akuarium bersih
Secara
automatik, ia boleh bertindak sebagai tumbuhan kawalan secara biologi.
Tiada lagi air akuarium yang kotor dan berbau kerana semua bahan
keperluan telah diserap oleh marimo.
Pembesaran
marimo sangat perlahan iaitu diameternya berkembang lebih kurang satu
sentimeter (sm) setiap tahun bergantung pada persekitaran pembesaran.
Marimo membiak dengan cara bertunas, tunas baharu yang tumbuh boleh dicabut dan mampu hidup menjadi individu marimo yang lain.
Meskipun pertumbuhannya sangat lambat, marimo mampu memiliki jangka hayat yang sangat panjang sehingga mencecah 200 tahun.
Dalam koleksi peribadi Nigel, dia memiliki 20 biji marimo bersaiz antara enam hingga tujuh sentimeter.
Marimo
atau nama botaninya, Aegagropila linnaei, pertama kali dijumpai oleh
seorang saintis dari Austria, Dr. Anton E. Sauter pada tahun 1820 di
tasik Zeller. Namanya pula diberi oleh seorang ahli botani Jepun,
Tatsuhiko Kawakami pada tahun 1898.
Mari membawa maksud bola melantun manakala mo adalah nama generik bagi hidupan yang hidup di dalam air.
Menurut
Lee Hsien Hooi, 23, marimo sangat mudah dijaga. Hanya perlu dicuci
sekali seminggu dengan memerahnya sambil dilalukan pada air yang bersih.
Pemuda
yang masih belajar dalam bidang bioperubatan itu memiliki tiga marimo
bersaiz besar dan tujuh marimo kecil. Ujarnya, dia lebih berminat
terhadap tumbuhan tersebut dari segi ekologinya berbanding mitos yang
menyelubungi tumbuhan itu.
PERSAINGAN mendapatkan makanan dan nutrisi antara marimo dan alga menyebabkan pertumbahan alga hijau terbantut.
“Marimo
hanya memerlukan cahaya yang kelam, tidak perlu diberi makanan dan ia
adalah alternatif pada tumbuhan hiasan lain,” katanya yang lebih
dikenali sebagai Victor.
Selepas beberapa minggu, Victor mendapati air yang digunakan untuk menyimpan marimo tidak pernah kotor setiap kali dicuci.
Walaupun ia hidupan berair, marimo masih dapat hidup dalam keadaan kering selama empat minggu dan boleh mati.
Tanda-tandanya
ialah ia mula berubah menjadi warna putih kecoklatan. Cara untuk
merawat marimo sangat mudah iaitu dengan menambah sedikit garam sebagai
ubat ke dalam air rendaman marimo.
Kian pupus
Kemudian, ia diletakkan dalam peti sejuk supaya proses pemuliharaan dapat dilakukan mengikut suhu iklim habitat asal marimo.
Marimo
adalah hidupan yang tinggal di persekitaran dingin di hemisfera utara
dan banyak didapati secara semula jadi di Iceland, Jepun, Scotland dan
Estonia.
Hidupan
itu kini sedang berdepan pengurangan bilangan yang sangat drastik,
pelbagai usaha telah dilakukan termasuk festival selama tiga hari
diadakan di Tasik Akan, Jepun sebagai mempromosi pemeliharaan marimo.
Di negara Matahari Terbit itu, masyarakat digalakkan membeli sebiji marimo bagi setiap individu.
Sebenarnya,
marimo lebih mendapat perhatian masyarakat kerana legenda yang
mengaitkan tumbuhan itu dengan tuah, kekayaan dan cinta.
“Ada
pelanggan saya yang beli sebiji Marimo. Selepas sebulan, dia mendapat
jodoh dan terus bertunang. Seorang lagi, mendapat tempat kedua hadiah
teka nombor empat digit,” ujar Nigel yang mula menjual marimo sejak
November 2011.
Kini,
Nigel secara sepenuh masa menjadi penjual dan pengedar marimo di
Malaysia. Bazarnya di e-Curve, Mutiara Damansara menjual marimo dalam
bentuk cenderamata pada harga antara RM15 hingga RM60 bergantung pada
saiz dan dekorasi.
No comments:
Post a Comment